Tiada mesyuarat MKN malam BN kalah - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan tiada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) diadakan pada malam 9 Mei lalu selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bekas Perdana Menteri itu turut menyatakan pendiriannya sebagai pendukung demokrasi dan yakin dengan kehendak rakyat.
"Saya seorang demokrat, saya percaya akan kehendak rakyat. Mereka mendakwa saya mengadakan mesyuarat MKN (tetapi) ia tidak berlaku. Anda boleh tanya semua ahli (MKN)," katanya dalam satu temubual ekslusif bersama portal Malaysiakini, baru-baru ini.
Sebelum PRU-14, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, sering mendakwa Najib tidak akan menyerahkan kuasa dan mungkin memanggil MKN sekiranya kalah kerana takut ditangkap.
Memetik laporan Reuters, Dr Mahathir berkata, pihaknya terkejut apabila memenangi PRU-14 kerana Najib menyedari kemungkinan dipenjarakan jika kalah pada pilihan raya itu.
"Saya fikir dia mempunyai rancangan lain (pada PRU-14)," katanya.
Rabu lalu, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada BN atas peralihan kuasa yang aman.
Najib memberitahu tiada perancangan lain dan tidak mahu negara berada dalam keadaan huru-hara.
"Saya tidak mahu berlaku pertumpahan darah," katanya sambil mendakwa kerajaan PH hanya ingin menganiayanya.
Bekas Perdana Menteri itu yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan dan sedia menghadapi semua pertuduhan bagi membersihkan namanya.
Ditanya perasaannya ketika keputusan PRU-14 diumumkan, Najib mengakui tenang menerima kekalahan itu.
"Saya sangkakan kami akan terkejut dan trauma, namun kami memutuskan untuk menerima kehendak rakyat dan terus bergerak ke hadapan," katanya.
Sebelum ini, Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan Najib menghubunginya pada malam 9 Mei.
Mengulas perkara itu, Najib enggan mendedahkan butir perbincangan dan hanya mengatakan ia adalah perbualan peribadi.
"Beliau (Anwar) berterima kasih kerana saya melayannya dengan baik ketika dia menjalani hukumannya.
"Pada saat akhir beliau menjalani rawatan, saya benarkan dia tinggal di pusat pemulihan khas yang sangat selesa.
"Kita hanya bertukar pendapat berhubung pemilihan yang berjalan, maka biarlah ia menjadi perbualan peribadi," katanya.
Najib turut menjelaskan sebab beliau tidak menyampaikan ucapan pada malam keputusan PRU-14 lalu dan berubat demikian esoknya.
"Saya tidak memberi ucapan pada malam 9 Mei kerana perlu sedikit masa untuk pulih.
"Tidak mudah bertemu petugas media pada malam yang sama, saya perlu tenangkan fikiran saya dan dapatkan keputusan akhir," katanya.
Sementara itu, Najib menyokong kenyataan Yang di-Pertuan Agong berhubung tiada parti memperoleh majoriti.
"Keesokan harinya, ucapan baginda adalah betul secara teknikal.
"Saya percaya baginda akan memutuskan yang terbaik untuk negara dan membenarkan PH membentuk kerajaan.
"Ia baik untuk kita dan baginda berhak memutuskannya mengikut Perlembagaan," katanya.
Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==