PPBM ganti UMNO jaga orang Melayu

BAGAN SERAI: Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengakuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menjadi pelindung dan menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini, menggantikan UMNO.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM berkata, melalui pegangan jawatan Perdana Menteri yang diberikan kepada pemimpin parti itu dalam Pakatan Harapan (PH), perkara itu dapat dijamin.
"Dengan pegangan jawatan yang tinggi ini kita akan dapat mempengaruhi pentadbiran negara kita, kita akan melindungi rakyat keseluruhannya, khususnya orang-orang Melayu yang merasakan mereka tidak begitu selamat dalam negara kita.
"Bagaimana sekian lama mereka percaya perlindungan yang datangnya daripada parti UMNO saja tetapi saya beri pengakuan bahawa Parti Pribumi (PPBM) ini akan menjadi pelindung mengganti parti UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM 2018 peringkat kebangsaan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini hari ini.
Dr Mahathir juga memberi jaminan PPBM tidak akan berkelakuan seperti UMNO, yang dulu adalah sebuah parti dihormati, dimuliakan tetapi apabila sudah menjadi pemerintah sekian lama, mereka lupa bahawa mereka ditubuh untuk perjuangan bangsa, agama dan negara.
"Sebaliknya, di bawah pimpinan Datuk Seri Najib (Razak), UMNO menjadi sebuah parti yang hanya fikir duit ringgit bagi diri mereka saja....inilah yang berlaku sehingga ramai daripada orang UMNO keluar daripada UMNO untuk menyertai parti-parti lain," katanya.
Terdahulu, sebelum berucap, Dr Mahathir menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan EMKAY (YE), Pulau Banding Foundation (PBF) dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di lokasi.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden PPBM merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PPBM yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Pengerusi Badan Pimpinan PPBM Perak yang juga Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; beberapa Menteri Kabinet serta pimpinan PPBM pusat serta negeri yang lain.
Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM itu menyaksikan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sejak pagi hari ini, yang tidak mahu ketinggalan menikmati pelbagai hidangan disediakan seperti lemang, rendang, laksa, bihun sup dan lain-lain.
Selain menikmati pelbagai juadah disediakan, pengunjung turut beriadah dengan mandi bersama keluarga di taman tema itu yang dibuka secara percuma kepada pengunjung.
Pada majlis sama yang turut meraikan kemenangan parti, sumbangan sebanyak RM750,000 dikutip hari ini bagi Tabung Harapan Malaysia.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin ahli UMNO sedar dan menerima hakikat sebenar bahawa UMNO sudah menjadi alat kepada seorang bekas Presiden dan mereka akan meninggalkan parti yang sudah dihancurkan oleh pemimpin mereka sendiri.
Sebaliknya, beliau yakin PPBM akan menjadi sebuah parti yang lebih besar dan kuat dalam PH selepas ini, termasuk melalui sokongan yang ditunjukkan dengan kehadiran begitu ramai rakyat pada majlis rumah terbuka parti itu dan banyaknya bendera parti yang dipasang hari ini.
Dr Mahathir juga yakin jika PPBM boleh bertanding atas logo parti sendiri mungkin parti itu akan memperoleh lebih banyak kemenangan.
"Tetapi kerana sebab-sebab tertentu (iaitu) kerana pihak pemerintah lama (kerajaan Barisan Nasional) menghalang parti kita daripada didaftar dan berkempen, maka kita terpaksa guna logo, bendera dan simbol yang lain.
"Namun demikian, kita mendapat kemenangan juga walaupun kita diberi kawasan yang sukar untuk dimenangi, yang dulu kawasan parti UMNO menang dengan begitu besar, namun kita mendapat kemenangan juga walaupun kurang daripada parti lain (dalam PH).
"Jika kita lihat begitu ramai yang datang hari ini, tentu kita rasa kekuatan kita jauh lebih tinggi daripada tanda kemenangan kita. Saya yakin dalam pilihan raya akan datang bila kita guna satu logo khas PH, kita akan dapat kejayaan yang lebih.
"Saya yakin ramai di sini yang belum jadi ahli Parti Pribumi (PPBM), saya rayu dan minta yang ada di sini daftar sebagai ahli PPBM, dengan itu barulah kita boleh berkesan mempengaruhi kerajaan PH, yang mana pada ketika ini ada juga parti-parti lain yang lebih besar dan kuat daripada kita," katanya.
Dr Mahathir, yang turut berterima kasih kerana PH memberi peluang pemimpin PPBM memegang jawatan Perdana Menteri berkata, hasrat memperkuatkan parti bukan bermakna PPBM mahu bersaing atau berlawan dengan parti lain dalam pakatan itu, sebaliknya penting untuk dilihat sebagai sebuah parti yang kuat dan besar serta menjadi sebuah parti yang akan diyakini lagi dipercayai oleh rakyat.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Malaysia sebuah negara bertuah kerana rakyatnya yang berbilang kaum dapat meraikan perayaan masing-masing dalam keadaan aman seperti sambutan Aidilfitri yang turut diraikan pelbagai kaum.
"Kita terima hakikat negara kita berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya tetapi umumnya negara kita ini negara aman dan selesa bagi semua rakyat tak kira bagi apa juga kaum dan agama.
"Sebaliknya di negara lain, apabila ada sedikit kelainan berlaku saja mereka sudah berperang, membunuh dan merosakkan negara mereka," katanya yang turut gembira kerana tiada rusuhan berlaku.
Beliau berkata, negara ini sudah memberi banyak nikmat kepada rakyatnya dan kerajaan akan terus berusaha supaya semua kaum akan menikmati segala kekayaan negara bersama tanpa melakukan perbuatan merampas.
"Di Malaysia, kita akan berkongsi kekayaan dengan cara yang baik, berurusan dengan baik supaya dapat mengurangkan perbezaan antara kaum supaya negara kita terus aman dan selamat kepada semua rakyat berbilang kaum," katanya.
Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==