Kanak-kanak 6 tahun maut dirempuh lori

KAJANG: "Hati ini terlalu sebak memikirkan nasib anak, Puteri Alya, yang maut akibat dirempuh lori. Tragedi meragut nyawanya berlaku amat pantas," kata Roslina Md Razali, 35, dengan sayu.

Dalam kemalangan jam 8.40 malam kelmarin, mangsa, Puteri Alya Balqisha Mohd Azman, 6, tercampak jatuh dari motosikal yang ditunggang bersama dua bapa saudaranya berhampiran Taman Wawasan, Hulu Langat di sini.
Kejadian berlaku apabila motosikal mereka dirempuh lori tanah yang kerap melalui laluan berkenaan.
Roslina berkata, Puteri Alya yang lebih mesra dengan panggilan Adik, dalam perjalanan menuju ke rumah ibu saudaranya di Sungai Serai di sini, untuk menghantar buah-buahan ketika nahas berlaku.
"Sebuah lori gagal mengelak dan merempuh motosikal itu menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak.
"Adik tercampak kira-kira 10 meter dari motosikal dan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian manakala dua bapa saudaranya yang juga adik kandung saya berusia 18 dan 24 tahun mengalami kecederaan serius," katanya ketika ditemui hari ini.
Tambah beliau, arwah anaknya sebelum ini begitu gembira susulan kedatangan dua bapa saudaranya ke rumah mereka dari kampung di Perak petang kelmarin.
"Puteri Alya amat rapat dengan dua adik saya itu hinggakan dia tidak mahu berenggang," katanya dengan linangan air mata.
Menurutnya, jenazah anak bongsunya itu selesai dibedah siasat dan selamat dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Desa Pelangi di sini, jam 11 pagi semalam.
"Tragedi ini mungkin dapat dielakkan jika pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemandu dan lori yang kerap menggunakan laluan ini siang dan malam.
"Ini bukan tragedi kali pertama berlaku dan penduduk sudah acap kali membuat aduan. Bagaimanapun semakin banyak lori tanah dan pasir melalui kawasan berhampiran kediaman penduduk ini," katanya.
Menurutnya, kehadiran lori `hantu' turut menyebabkan penduduk lebih berhati-hati terutama ketika menghantar atau mengambil anak pulang dari sekolah.
Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==