Sering sakit rupanya hidap kanser hati

SUNGAI BESAR: Seorang pelajar lelaki di sini, tidak menyangka kesihatannya yang terganggu sepanjang lapan bulan lalu rupanya petanda dia menghidap kanser hati.

Lebih memilukan, saat rakan sebayanya sedang menjalani sesi persekolahan, dia terpaksa bercuti panjang menjalani rawatan bagi melawan penyakit berbahaya itu.
Hafiez Hassan, 14, yang belajar di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ), di sini, berkata, detik hitam itu bermula selepas dia sering demam selain mengalami pening kepala dan sakit badan sejak awal Disember tahun lalu.
"Saya ingatkan bila dah ambil ubat penahan sakit, demam dan sakit badan sembuh. Tetapi, ia tetap berterusan sehingga kedua-dua orang tua risau akan keadaan saya.
"Apabila berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan disahkan menghidapi penyakit ini pada Jun lalu, saya seolah-olah hilang arah tujuan," katanya ketika ditemui NSTP di rumahnya di Parit Enam Timur, di sini.
Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia selamat menjalani pembedahan bagi membuang separuh daripada hatinya pada 21 Jun lalu di Hospital Selayang.
Hafiez berkata, dia turut mengalami masalah kulit di bahagian belakang berikutan terpaksa berbaring atas tilam sepanjang masa.
"Setiap hari, saya perlu mencuci luka di Klinik Kesihatan Sungai Besar bagi mengelakkan jangkitan kuman.
"Malah, doktor turut menasihatkan saya untuk tidak melakukan sebarang aktiviti berat buat sementara waktu," katanya.
Sementara itu, ibu Hafiez, Rafeah Ahmad, 54, berkata, dia dan suami Hasaan Hashim, 49, memerlukan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan bagi menampung kos rawatan Hafiez.
"Selepas suami berhenti kerja sebagai pemandu lori sejak lima tahun lalu, kami sekeluarga hanya bergantung pada bantuan asnaf dari Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM 250 sebulan. Selain itu, suami turut menanam sayur-sayuran di sekitar rumah.
Menurut Rafeah, dia memohon jasa baik orang ramai untuk membantu Hafiez agar dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.
"Dia (Hafiez) mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi guru agama selepas tamat persekolahan nanti. Namun, apakan daya, Allah menguji kami sekeluarga dengan perkara ini.
"Saya berharap Hafiez sembuh seperti sediakala dan meneruskan persekolahan sama seperti insan lain," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam (12-056-02-272123-4) atas nama Rafeah Ahmad atau menghubunginya terus di talian 010-2595172.
Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==