Pengasuh tak sedar bayi tersedak susu

MELAKA: Seorang bayi berusia empat bulan menemui ajal dipercayai akibat tersedak susu di sebuah Taman Asuhan kanak-Kanak (TASKA), Bukit Baru di sini, hari ini.
Bapa bayi berkenaan, Zainal Abidin Deraman, 34, berkata ketika dihantar ke TASKA itu kira-kira jam 7.30 pagi, anak bongsunya itu berada dalam keadaan sihat.
Beliau difahamkan, kejadian itu hanya disedari guru TASKA terbabit kira-kira jam 11.45 pagi tadi selepas mendapati muka bayi berkenaan bertukar kebiruan.
"Walaupun masih terkejut, saya redha dengan pemergiannya (anak), kami menantinya kira-kira tujuh tahun selepas anak pertama, tetapi hari ini saya dan isteri berdepan tragedi ini," katanya.
Beliau berkata, anaknya baru dihantar ke pusat asuhan berkenaan sejak Isnin lalu selepas isterinya, Roslina Ismail, 34, kembali bertugas sebagai guru selepas habis berpantang.
"Selepas kembali bertugas, anak dijaga selama dua minggu oleh ibu mentua dan pada minggu lalu, baru kami menghantarnya ke TASKA.
"Tidak sangka kejadian ini akan terjadi kepada saya" katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka, di sini.
Zainal Abidin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata, jenazah anaknya itu dijangka akan dikebumikan di Kelantan selepas selesai proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada pegawai perubatan Hospital Melaka, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
"Laporan itu menyatakan pihak hospital menerima seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 12.05 tengah hari.
"Selepas memberikan rawatan menyelamat kira-kira 30 minit, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia jam 12.30 tengah hari," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka.
Difahamkan, bayi itu diberi minum susu yang dibekalkan ibunya jam 8.50 pagi dan pihak TASKA mendakwa bayi berkenaan sudah sendawa sebelum tidur.
Bagaimanapun, kira-kira jam 11.45 pagi pengasuh memeriksa bayi itu dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum membawanya ke hospital.
Sumber : bharian

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==