Kenyataan Annuar Musa tidak wajar - Mukhriz

KLANG: Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan kenyataan Tan Sri Annuar Musa bahawa akan ada lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas ini seperti di Parlimen Langkawi, adalah tidak wajar.
Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, apa yang diucapkan Annuar itu sesuatu yang tidak perlu.
"Saya fikir beliau membuat kenyataan sambil lewa. Ia sangat tidak wajar dan saya dengar ada seorang lagi, saya rasa seorang ahli Pemuda UMNO, juga mengeluarkan kenyataan sama. Ia bukan satu kenyataan yang baik.
"Tetapi, kita lihat nanti. Seorang yang berusia 93 tahun mungkin boleh panjang umur hingga 100 atau 103 tahun, dalam tempoh 10 tahun lagi, atau mungkin sehingga 20 hingga 30 tahun.
"Siapa tahu? Kita ini yang tidak tahu berapa lama kita akan hidup. Ini semua kuasa Tuhan," katanya.
Mukhriz berkata demikian ketika ditemui pada program ceramah PRK Sungai Kandis di Taman Sri Andalas, malam ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah PRK Sungai Kandis, Dr Xavier Jayakumar, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR untuk pilihan raya itu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai kenyataan Annuar yang mengatakan PRK Sungai Kandis dan Balakong bukanlah PRK terakhir yang akan diadakan.
Annuar dilaporkan berkata, PRK itu adalah ujian Allah kepada Selangor dan tidak diketahui di mana pilihan raya seterusnya akan diadakan dan ia mungkin di Langkawi atau tempat lain.
Dr Xavier, yang juga Naib Presiden PKR, berkata, "(Langkawi?) Ya kah? Perkataan yang saya katakan terhadap Annuar adalah biadap."
Sementara itu, ketika berucap, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah, menyuarakan perasaan terkilan terhadap sesetengah pihak yang menggunakan isu perkauman dan agama sebagai kelebihan politiknya.
"Politik perkauman tidak sepatutnya wujud bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan yang dinikmati negara terjamin.
"Sebelum ini, saya berada di pihak satu lagi dan saya dapati (mereka) masih dibelenggu dengan isu sama dan politik sedemikian masih dimainkan," katanya.
Muhkris turut menggesa pengundi untuk meneruskan momentum kemenangan dan menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu.
Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==