ADUN Balakong meninggal kemalangan

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee, disahkan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Grand Saga, Cheras tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, dalam satu kenyataan, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi di Kilometer 11. 7 lebuh raya berkenaan selepas kenderaan jenis Nissan Xtrail dipandu Tien Chee dipercayai terlanggar belakang sebuah lori milik syarikat konsesi Lebuhraya Grand Saga.
"Akibat daripada kemalangan itu, mangsa, pemandu kereta Nissan Xtrail telah meninggal dunia.
"Mangsa adalah ADUN Balakong, Ng Tien Chee, maut di tempat kejadian," katanya.
Tien Chee atau dikenali sebagai Eddie Ng, 40, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri satu majlis makan malam di ibu negara.
Bagaimanapun, Eddie Ng yang memandu kereta jenis Nissan Xtrail, dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori milik Syarikat Grand Saga, yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan di lebuh raya berkenaan.
Sumber polis memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada mangsa gagal mengawal keretanya sehingga menyebabkan rempuhan berlaku.
Pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang dikejarkan ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam mesej yang dimuat naik ke laman Twitter menggunakan akaun @AmirudinShari mengucapkan takziah kepada keluarga Tien Chee.
"Saya telah menerima berita dukacita YB @eddiengtienchee, ADUN Balakong telah meninggal dunia akibat nahas kemalangan jalan raya.
"Takziah diucapkan kepada keluarga. Saya turut merasa sedih dan terkejut apabila menerima berita pemergian mendiang YB Ng Tien Chee," katanya.
Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==