Misi menyelamat pelajar dalam gua diteruskan

CHIANG RAI: Pasukan penyelamat menyambung semula segala persiapan untuk melaksanakan operasi menyelamat kali ketiga di dalam gua, hari ini, bagi membawa keluar baki empat pelajar dan seorang jurulatih, ketika mereka berdepan dengan ancaman musim monsun.

Terdahulu, kumpulan kedua empat pelajar dibawa keluar dari gua Tham Luang berhampiran Myanmar menggunakan pengusung, menjadikan keseluruhan yang selamat kepada lapan orang.
Ketua operasi menyelamat, Narongsak Osottanakorn, berkata pasukan penyelamat berjaya membawa keluar kumpulan kedua pelajar dua jam lebih awal, berbanding kumpulan pertama, walaupun berdepan pelbagai halangan ketika berada di dalam terowong.
Pasukan penyelamat berkata, mereka memerlukan tempoh 20 jam untuk mengisi dan menambah semula bekalan oksigen, sebelum misi menyelamat seterusnya dilaksanakan, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Thailand, Jesada Chokedamrongsuk, berkata kesemua lapan pelajar yang berjaya diselamatkan berada dalam keadaan baik dari segi fizikal dan mental.
"Kesemua lapan pelajar berada dalam keadaan baik, tiada demam. Tahap kesihatan mental mereka juga dalam keadaan baik," kata Chokedamrongsuk kepada wartawan di sebuah hospital di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, kesemua pelajar terbabit sudah menjalani pemeriksaan x-ray serta ujian darah dan dua daripada mereka menunjukkan tanda mengalami radang paru-paru, tetapi sudah diberi rawatan antibiotik.
"Mereka akan ditahan di hospital selama seminggu untuk pemantauan," kata Chokedamrongsuk. - AFP/Reuters
Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==