Maya sudah ada kekasih

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Maya Matahari mengakui, hatinya sudah dimiliki jejaka yang dikenalinya sejak setahun lalu, namun menyerahkan kepada ketentuan takdir apabila persoalan mengenai jodoh diajukan.


Maya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee, 42, berkata, ketika ini, tidak banyak yang boleh dikongsi mengenai identiti jejaka itu, memandangkan usia perkenalan mereka masih lagi mentah.
"Apa yang saya harapkan, doakan yang terbaik. Kalau sudah tertulis jodoh kami berdua, insya-Allah, kami akan melangkah ke fasa yang lebih baik," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka penyanyi dan penyampai radio Kool FM, Haiza, petang tadi.
Pada majlis itu, Maya hadir ditemani kekasihnya dengan memakai baju rona biru sedondon. Biarpun pada mulanya enggan gambar mereka bersama dirakamkan, Maya akhirnya mengalah apabila didesak Haiza.
Ketika diaju pertanyaan mengenai penghijrahannya dengan berhijab sebagai tanda awal dia bersedia untuk kembali ke alam rumah tangga, Maya menafikan perkara itu.
Maya berkata, melewati usia matang membuatkan, dia tidak lagi meletakkan paras rupa dan kekayaan sebagai kriteria utama, sebaliknya berharap jodohnya nanti direstui ibunya.
"Saya berdoa dipertemukan dengan lelaki terbaik dan boleh menjadi imam saya. Selain itu, restu ibu juga sangat penting supaya perjalanan rumah tangga diberkati.
"Cara dia melayan keluarga juga antara perkara yang saya lihat. Selain itu, penerimaan keluarga pihak di sana juga penting kerana saya berharap, jodoh kali ini akan kekal hingga ke akhir hayat," katanya.
Maya pernah mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz pada 26 Jun 2009, tetapi bercerai pada 17 Ogos 2015.
Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==